Isnin, 5 September 2022

Sepi itu terkadang indah...

Assalamualaikum semua... 

Selamat bercuti, cuti sekolah minggu ni rasanya tidak ke mana-mana. Dak bongsu pun ada kelas tambahan. Ingatkan nak ke Melaka semula tapi sebab banyak keje yang tergendala, maka kenalah siapkan dulu. Hujung bulan ni pun ada program yang akan membuatkan aku menjejakkan kaki ke sana jua nanti. 

Bekerja, terkadang terasa bosan juga, muak dengan kerja yang hampir sama setiap hari, tetapi demi mencari rezeki...ku tahankan jua. Masih ada lagi tanggungjawab yang menanti. Serasa nak cari dunia baru, walaupun kerja yang hampir sama, tetapi environment yang berbeza. Andai ada rezekiku di sana...dapatlah hendaknya tetapi andai rezekiku masih di sini, ku teruskan jua menghadapi sisa-sisa hidup yang masih berbaki. Masa berlalu begitu pantas. Pejam celik, pejam celik dah masuk bulan 9 bagi tahun ini. Berbaki 3 bulan lagi sehingga ke tahun akan datang, aku harap dapatlah aku bebas dari segala hutang piutang. Indahnya hidup bila rumah dah habis bayar, kereta dah habis bayar, tiada personal loan. Dengan kata lain, tiada hutang. Andai tiba waktu itu, boleh lah aku merencana untuk melihat dunia pula, moga Allah kabulkan impianku melihat keajaiban dunia sebelum mata ini tertutup rapat. Suatu masa nanti, anak-anak akan membesar dan mempunyai keluarga sendiri. Hakikat bahawa seorang mak/ibu/mama/mummy/ummi yang harus hadapi bila semua anak-anak dah besar dan hidup dalam keluarga masing-masing. Hanya dapat berkumpul di sebahagian waktu yang sebentar cuma. Dan untuk itu, aku telah bersedia fizikal dan mental walaupun terkadang hati ini rasa sangat sedih. Suatu hari, keadaan itu akan tiba jua. Nasib yang sama seperti yang di alami oleh mak dan abah di kampung. Setiap minggu menanti anak manakah yang sudi melawat dan berziarah. Kerana menyedari hal itu, aku akan berusaha untuk menjengok mereka paling tidak pun sebulan sekali. Bagi aku, duet bukanlah segalanya walaupun segalanya perlukan duet. Aku lebih rela berhabis demi melihat orang tuaku di kampung. Penat tu bolehlah tolak ke tepi, saat-saat bersama yang aku inginkan walaupun hanya sementara. Doa yang aku perlukan dari mereka lebih bernilai dari segalanya. 

Buat anak-anakku... 

Bila kalian sudah berkeluarga dan mempunyai pasangan hidup masing-masing, maka selesailah tugas mama membesarkan kalian. Doa mama sentiasa mengiringi perjalanan hidup anak-anak semua agar menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Mama habiskan masa yang ada ini bersama kamu dan menutup dulu impian mama agar anak-anak mama mendapat perhatian dan kasih sayang yang secukupnya dari mama. Mama mungkin tidak dapat memberikan sepenuhnya tetapi mama berusaha memberikan yang terbaik demi kamu. Memang bukan mudah untuk menjaga dan mendidik kamu anak-anakku tetapi mama percaya Allah sentiasa ada untuk mama. Mama dapat rasakan kasih sayang Allah kerana kita dikelilingi oleh teman, sahabat, rakan-rakan dan kejiranan yang baik. Moga Allah redha dengan perjalanan hidup kita. Jangan lupa solat walaupun terkadang kita melakukan kesilapan tetapi dengan solatlah kita masih ada sekeping hati yang tulus dan suci. Mama mengharapkan kalian hidup gembira dan saling berhubungan sesama adik beradik. Jangan putuskan hubungan silaturrahim dengan keluarga. Pupuklah kasih sayang di antara kamu semua. Mama mengharapkan doa kalian sebagaimana mama sentiasa mendoakan anak-anak.

Sampai sini dulu, andai sampai waktu...aku akan mengembara menikmati keindahan alam ciptaan tuhan. 5 tahun je lagi...the times will come 😄

Jumpa lagi, sayonara !!