Isnin, 5 September 2022

Sepi itu terkadang indah...

Assalamualaikum semua... 

Selamat bercuti, cuti sekolah minggu ni rasanya tidak ke mana-mana. Dak bongsu pun ada kelas tambahan. Ingatkan nak ke Melaka semula tapi sebab banyak keje yang tergendala, maka kenalah siapkan dulu. Hujung bulan ni pun ada program yang akan membuatkan aku menjejakkan kaki ke sana jua nanti. 

Bekerja, terkadang terasa bosan juga, muak dengan kerja yang hampir sama setiap hari, tetapi demi mencari rezeki...ku tahankan jua. Masih ada lagi tanggungjawab yang menanti. Serasa nak cari dunia baru, walaupun kerja yang hampir sama, tetapi environment yang berbeza. Andai ada rezekiku di sana...dapatlah hendaknya tetapi andai rezekiku masih di sini, ku teruskan jua menghadapi sisa-sisa hidup yang masih berbaki. Masa berlalu begitu pantas. Pejam celik, pejam celik dah masuk bulan 9 bagi tahun ini. Berbaki 3 bulan lagi sehingga ke tahun akan datang, aku harap dapatlah aku bebas dari segala hutang piutang. Indahnya hidup bila rumah dah habis bayar, kereta dah habis bayar, tiada personal loan. Dengan kata lain, tiada hutang. Andai tiba waktu itu, boleh lah aku merencana untuk melihat dunia pula, moga Allah kabulkan impianku melihat keajaiban dunia sebelum mata ini tertutup rapat. Suatu masa nanti, anak-anak akan membesar dan mempunyai keluarga sendiri. Hakikat bahawa seorang mak/ibu/mama/mummy/ummi yang harus hadapi bila semua anak-anak dah besar dan hidup dalam keluarga masing-masing. Hanya dapat berkumpul di sebahagian waktu yang sebentar cuma. Dan untuk itu, aku telah bersedia fizikal dan mental walaupun terkadang hati ini rasa sangat sedih. Suatu hari, keadaan itu akan tiba jua. Nasib yang sama seperti yang di alami oleh mak dan abah di kampung. Setiap minggu menanti anak manakah yang sudi melawat dan berziarah. Kerana menyedari hal itu, aku akan berusaha untuk menjengok mereka paling tidak pun sebulan sekali. Bagi aku, duet bukanlah segalanya walaupun segalanya perlukan duet. Aku lebih rela berhabis demi melihat orang tuaku di kampung. Penat tu bolehlah tolak ke tepi, saat-saat bersama yang aku inginkan walaupun hanya sementara. Doa yang aku perlukan dari mereka lebih bernilai dari segalanya. 

Buat anak-anakku... 

Bila kalian sudah berkeluarga dan mempunyai pasangan hidup masing-masing, maka selesailah tugas mama membesarkan kalian. Doa mama sentiasa mengiringi perjalanan hidup anak-anak semua agar menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Mama habiskan masa yang ada ini bersama kamu dan menutup dulu impian mama agar anak-anak mama mendapat perhatian dan kasih sayang yang secukupnya dari mama. Mama mungkin tidak dapat memberikan sepenuhnya tetapi mama berusaha memberikan yang terbaik demi kamu. Memang bukan mudah untuk menjaga dan mendidik kamu anak-anakku tetapi mama percaya Allah sentiasa ada untuk mama. Mama dapat rasakan kasih sayang Allah kerana kita dikelilingi oleh teman, sahabat, rakan-rakan dan kejiranan yang baik. Moga Allah redha dengan perjalanan hidup kita. Jangan lupa solat walaupun terkadang kita melakukan kesilapan tetapi dengan solatlah kita masih ada sekeping hati yang tulus dan suci. Mama mengharapkan kalian hidup gembira dan saling berhubungan sesama adik beradik. Jangan putuskan hubungan silaturrahim dengan keluarga. Pupuklah kasih sayang di antara kamu semua. Mama mengharapkan doa kalian sebagaimana mama sentiasa mendoakan anak-anak.

Sampai sini dulu, andai sampai waktu...aku akan mengembara menikmati keindahan alam ciptaan tuhan. 5 tahun je lagi...the times will come 😄

Jumpa lagi, sayonara !!

Selasa, 10 Mei 2022

Lebaran 2022

Assalamualaikum semua... Alhamdulillah tahun ni dapat merasa kembali kemeriahan suasana hari raya. Setelah 2 tahun kita tidak dapat beraya bersama sanak saudara, tahun ini diberi kesempatan untuk meraikan. Mana tak nya kan...sekali hari raya jatuh mengejut pulak. Kusangkakan hari selasa rupanya isnin. Tapi seperti kebiasaan, raya tetap raya kan...mama tetap vouge di pagi raya, hehe Jom le layan gambar...malas nak type panjang-panjang
ok, sampai sini dulu. kenangan itu indah untuk di kenang Jumpa lagi...sayonara !!

Jumaat, 22 April 2022

Doa Mak

Assalamualaikum semua... Lama nau tak menulis ni, bizi lah sangat kan sampai tak sempat nak baca blog, tak sempat nak berfb dan macam-macam lagi lah. Korang apa khabar? Dah masuk malam ke 19 puasa ramadhan tahun ini. Moga kita bertemu dengan malam lailatul qadar. In shaa Allah. Hari demi hari berlalu, terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan. Ada masanya kita akan rasa down sangat-sangat. Begitulah lumrah kehidupan. Ada masa kita happy, ada masa rasa sedih, ada masa kita sibuk, ada masa kita senggang. Ada orang yang tidak bertemu ramadhan tahun ini. Ada orang hanya dapat menjalani sedikit ibadah puasa. Allahu, begitulah takdir Allah SWT. Kita sebagai hambanya, hanya mengikuti rentak kehidupan di alam ini. Ok lah...hari ni ada perkhabaran baik yang aku terima. Minggu depan, hari Isnin dapat interview untuk kenaikan pangkat. Harapnya rezeki berpihak kepadaku. Petang tadi call mak, minta mak doakan moga interview aku itu berjalan dengan lancar. Hajat di hati nak mohon kekosongan di Melaka tetapi belum ada rezeki. Kita cuba mohon di sini dulu, andai kata ada rezeki akan datang, boleh mohon di sana. Pernah ke kita terfikir, takdir Allah itu ada sebabnya. Mungkin Allah hilangkan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Bukanlah bermakna yang lama itu tidak baik, tetapi Allah mahu gantikan dengan yang lebih baik lagi. Aku sebagai hamba Nya bermohon agar suatu masa nanti akan ada sinar yang menyinari hidup ini. Terkadang apa yang telah Allah takdirkan, mungkin ada sebab yang mungkin kita tidak tahu di masa akan datang. Mungkin Allah handak aku berbakti kepada orang tuaku. Andai satu masa nanti ditakdirkan aku perlu menjaga orang tuaku, aku perlu korbankan masa dan tenaga untuk itu. Bersedialah aku dari sekarang dan aku harap anak-anak dan orang yang aku sayangi memahami aku seadanya. Hidupku hari ini adalah demi menjaga anak-anak, hadiah dari Allah SWT dan amanah untuk aku bela dan menyayangi mereka. Sungguh, hidup ini sangat indah takdirnya. Bersangka baik sentiasa. Akan sampai waktunya Allah beri yang indah-indah, bersyukurlah sentiasa. Selagi ada mak abah, marilah kita berbakti kepada mereka. Doaku semoga kedua-duanya sihat sentiasa. Walaupun mereka masih berniaga kuih muih di kampung...ikutkan hati ini, mahu saja suruh mak dan abah tak perlu berniaga tetapi permintaan pelanggan mahukan mereka terus berniaga, aku redha je lah. Honestly, buat kuih ni penat tau...aku masa sekolah dulu, uli kulit karipap tu memang tugas aku lah...siap pakej kelim karipap lagi. Tapi masa tu kudrat masih muda, tak de lah rasa sakit tangan-tangan ni. Laa ni dah tua (eh! tapi tak de lah tua sangat, tengah 40-an gitew)...buat lebih 200 biji karipap dah cukup melenguhkan tangan dan lenganku. Haisshhhh....camane lah abah boleh gelek karipap hari-hari dengan faktor umur yang dah lebih 60-an. Disebabkan kuih mak dan abah sedap-sedap belaka, layankan je lah tekak orang-orang Melaka nak makan kuih muih mereka. Sebagai anak, jangan malu untuk meminta doa dari mak abah kita. Tak salah kalau kita telefon mereka dan minta mereka doakan kita. Dan aku tahu, tidak ramai dari kita yang boleh buat macam ini. Mungkin sebab kita rasa kita dah besar, boleh berdikari sendiri tetapi doa mak tiada hijabnya. Bak kata orang, tembus sampai langit ke tujuh lah. Minta lah doa dari emak/ibu/mama/mummy/ummi kita...in shaa Allah hidup kita akan lebih bahagia. Ok lah, sampai sini dulu. Sambung nanti ye Sayonara !!