Rabu, 30 Disember 2020

Yakin dan Redha

Assalamualaikum…

Lagi dua hari tahun 2020 akan meninggalkan kita. Walaupun mengikut kalendar Masihi, tahun akan tetap berubah dan akan sentiasa meningkat sesuai dengan usia manusia. Bertambah umur, bermakna bertambah kematangan dalam diri kita. Hidup banyak mengajar kita erti tabah, sabar dan redha. Terkadang apa yang kita mahukan tidak sama dengan kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita. Begitulah rencana dari Allah Yang Esa. Andai kita menerimanya dengan yakin dan redha, in shaa Allah semua akan dipermudahkan Nya. Berdoa lah sentiasa semoga Allah sayang akan kita dan menjaga kita sepenuhnya.


Hidup yang penuh pancaroba. Adakala kita gembira dan tertawa, adakala kita sedih dan menangis. Andai diberi pilihan, setiap orang mahukan kebahagiaan dalam hidup. Kebahagiaan yang dapat dirasakan bersama keluarga dan orang sekeliling yang di sayangi. Boleh ke sayang di bahagi-bahagi? kenapa ada orang tidak suka jika ada insan lain yang mahu berkongsi kasih sayang sesama mereka? Adakan hidup ini tidak adil? 😔😞

Kerana keyankinanku pada Allah sangat tinggi, aku yakin satu masa nanti segala impian yang aku kejar akan aku perolehi. Dan aku yakin, dengan izin Nya jua lah sesuatu yang harus berlaku akan berlaku. Aku harap Allah memberikan aku kesabaran yang tinggi sebagaimana dulu aku boleh bersabar dan aku tetap akan bersabar walaupun sepuluh tahun akan datang. 

Kehidupan akan tetap diteruskan walaupun tanpa CINTA manusia. Cinta yang kadang kala membawa kehancuran dalam perhubungan. Suka tidak semestinya memiliki, tetapi DOA buatmu akan tetap tersemat dalam hati ini. Moga kau berjaya mengejar impianmu. Aku sebagai wanita akan mendokongmu dari belakang, memberimu semangat dan kasih sayang yang tulus kerana aku tahu kau sangat menyayangi keluargamu. Aku tidak mungkin akan menyakiti mereka kerana apa sahaja yang kau sayang, adalah kesayanganku jua. Walaupun aku hanya dapat melihat dari jauh, aku RELA kerana aku adalah aku. Aku adalah wanita yang suka melihat wanita lain gembira walaupun aku terluka. Kerana lukaku dapat aku sembuhkan dengan doa dan airmata. Pernah kau tanya, kenapa aku sanggup melakukan segala kemahuanmu, kerana bila sayang itu wujud dalam hatiku, aku rela melakukan apa saja demi kebahagiaanmu. Mungkin, aku menyayangi orang yang salah, tetapi aku tidak boleh berpatah arah. Tetapi aku masih punya waktu untuk membetulkan semula keadaan yang telah berlaku.

Life must go on. Aku tidak mahu hidup bertemankan dosa dan noda. Aku hanya insan kerdil yang berbuat dosa atas diriku sendiri. Kepada Allah aku bermohon semoga Dia ampunkan dosa-dosaku.

Ya Allah, 
Hidup dan matiku kerana Mu. 
Kau tutuplah aibku 
Kau tetapkan imanku
Kau peliharalah aku 
Sayangi aku Ya Allah

Aku bermohon semoga tahun 2021 membawa sinar kebahagiaan buatku. Aamiin

Sampai sini coretan hati...

Jumpa lagi, sayonara !!

Isnin, 21 Disember 2020

Bila rindu itu hadir...

Assalamualaikum semua…

Selamat bercuti pada yang sedang dan akan bercuti...hujung tahun di manfaatkan bersama keluarga tersayang. Ada masa, kita perlu meluangkan masa bersama-sama hanya untuk mengeratkan kembali hubungan yang terjalin. Dah lama sangat anak-anak terperuk di dalam rumah, maka ke Pulau Pinang dan Ipoh tempat destinasi. Harapnya anak-anak enjoy dengan percutian kali ini. Tahun depan kita try plan ke Sabah pulak...tak pun ke Thailand menaiki keretapi 😄. Dan besar lah harapanku, agar Allah makbulkan hajat untuk menunaikan umrah tahun 2021.

Rindu…

Bila kerinduan datang menjengah, air mata ini akan terus mengalir. Betullah orang kata, rindu yang paling sarat adalah rindu pada orang yang telah tiada. Walaupun mungkin sampai masanya ada penggantinya, yang lama tidak mungkin akan dapat dilupakan. Kehidupan yang kau lalui bersamanya selama hampir 20 tahun, mana mungkin akan kau lupakan, bukan...terkadang ia membuatkan hati ini berkecamuk dan memendam rasa. Tetapi, bila memikirkan semua itu ketentuan Ilahi, kita harus pasrah dalam menjalani kehidupan ini. Setiap yang berlaku telah ditetapkan Allah...qada' dan qadar yang Allah telah susun cantik buat hambaNya. Bagi aku, setiap yang berlaku dan telahpun berlaku, pasti ada hikmah yang pada suatu masa nanti, akan Allah jawab satu persatu doa yang telah ku mohon kepada Nya. Aku yakin dan sangat yakin, Allah sayangkan aku dan pasti ada jalan keluar atas setiap permasalahan yang aku hadapi.

Rindu…

Semakin mendalam untuk insan yang ada di depan mata. Walaupun jauh, tetapi terasa diri ini terlalu dekat. Hanya ungkapan sayang dan rindu yang berkata-kata. Andai satu masa nanti, Allah temukan jodohku dengan dia, aku akan menerimanya kerana aku tahu dia terlalu sayangkan aku. Dan aku sangat-sangat tahu bahawa dia juga sangat-sangat menyayangi suri hatinya. Aku hanyalah menumpang kasih dan mengharapkan keikhlasan darinya. Semoga Allah terus menjaganya sebagaimana doa yang aku titipkan buatnya agar suatu masa nanti dia akan menempa kejayaan dan hajatnya akan tercapai suatu masa nanti. Sabar lah duhai sayang...hidup penuh dengan sandiwara dan pancarobanya. Dan pengalaman hidup itu sendiri dapat mematangkan fikiran kita. Berfikir bukan hanya untuk kau, aku dan dia...tetapi untuk semuanya. Keluarga adalah segalanya bagiku. Kerana kasih dan sayangku adalah untuk mereka dan juga kamu.

Rindu…

Andai tiba waktunya aku dijemput pulang, aku ingin anak-anakku mendoakan aku sentiasa. Anak-anakku, berbuat baiklah sentiasa walaupun terkadang hati dan perasaan ini tidak rela. Hidup terkadang tak seindah yang disangkakan. Banyak rintangan dan liku-liku kehidupan yang kalian perlu jalani. Tetapi walaupun berat mana pun dugaan yang melanda, berpeganglah dengan tali Allah...Allahuakbar. Sesungguhnya hanya Allah tempat kita mengadu, hanya kepada Allah tempat kita bermohon. Mohon dan mintalah apa sahaja pada yang sepatutnya kita sembah, iaitu Allah yang satu. Ingat pesan mama, jika orang tidak suka kita, kita masih ada Allah tempat mengadu. Kita masih ada Allah tempat untuk berserah. Mama akan sentiasa doakan anak-anak mama berjaya di dunia dan akhirat selagi nyawa dikandung badan. Aamiinn…

Sampai sini coretanku, mata dah mengantuk 😴😴

Jumpa lagi, sayonara !!

Jumaat, 4 Disember 2020

Terlupa Kebahagian Sendiri

 Assalamualaikum semua...

Hari Jumaat yang indah. Bersyukur pada Allah kerana masih diberi peluang untuk bangun malam bertahajud kepada Nya. Satu anugerah yang paling bernilai dalam hidup ini. Hidup yang bukan tentang aku, kau, dia...tapi ia tentang semua yang ada disekelilingmu.

Pernahkah kita terfikir, andai kehadiran insan yang tidak pernah kita duga hadir di dalam kehidupan kita. Adakah itu petanda dari Allah untuk kita menjalani kehidupan kita dengan penuh warna-warni? Samada manis atau pahitnya yang kita terima, setiap yang berlaku itu pasti akan berlaku. Bagi aku, apa jua yang hadir dalam hidup, adalah ujian yang Allah berikan untuk aku menilai sendiri sikap dan perangai manusia. Aku bukanlah manusia baik, aku adalah pendosa yang sentiasa berbuat dosa dan mengharapkan keampunan dari Allah SWT. Hanya kepada Allah tempatku berserah dan aku yakin apa jua yang tertulis buatku adalah yang terbaik untukku. Aku sangat yakin Allah itu Maha Besar dan aku yakin suatu hari nanti apa yang aku hajati akan Allah makbulkan.

Menjalani kehidupan ini, ada masanya kita ketepikan hak kita untuk beri laluan pada orang lain. Terkadang kerana terlalu ingin membahagiakan orang lain, sehingga aku terlupa akan kebahagiaanku sendiri. Bahagia bukan semuanya dari wang ringgit. Bahagia adalah bila kita menerima semua ketentuan yang Allah berikan seadanya. Terkadang bisikan hati ini terlalu payah untuk meluahkan. Ingin diluah tetapi mereka tidak mengerti apa yang aku inginkan. Samada mereka tidak mengerti atau sengaja tidak mengerti. Aku paling tidak suka pada orang yang hanya pandai berjanji tetapi tidak menepati janji kerana pengalaman banyak mengajarku untuk menunaikan janji. Janjiku pada mak abah, pada arwah suami, pada anak-anak...aku ingin membahagiakan mereka sebelum aku menutup mata. Ya Allah, izinkan aku agar aku dapat berbakti pada mak abah yang telah membesarkan aku dan pada anak-anak yang sangat-sangat aku kasihi. 

Aku mempunyai impian sendiri. Bahagia dengan caraku sendiri dan aku harap agar suatu hari nanti Allah lembutkan hati-hati mereka untuk menerima seseorang yang aku sayang. Ia bukanlah soal hati, ia adalah satu perasaan yang hadir dan perkenalan ini terjalin dengan izin Allah. Moga Allah redha. 

Kebahagiaan adalah milik semua. Bahagia itu perlu di cari. Andai bahagia itu milikku, aku sangat-sangat bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana dengan izinMu jualah kebahagian itu dapat aku kecapi. Andai masa yang berlalu mengajarku erti sabar, aku harus bersabar untuk masa-masa akan datang.

Ya Allah, restuilah perjalanan hidupku...aamiinn

Subhanallah

Alhamdulillah

La'ilahaillallah

Allahuakbar


Selamat malam semua...

Jumpa lagi, sayonara !!