Isnin, 21 Disember 2020

Bila rindu itu hadir...

Assalamualaikum semua…

Selamat bercuti pada yang sedang dan akan bercuti...hujung tahun di manfaatkan bersama keluarga tersayang. Ada masa, kita perlu meluangkan masa bersama-sama hanya untuk mengeratkan kembali hubungan yang terjalin. Dah lama sangat anak-anak terperuk di dalam rumah, maka ke Pulau Pinang dan Ipoh tempat destinasi. Harapnya anak-anak enjoy dengan percutian kali ini. Tahun depan kita try plan ke Sabah pulak...tak pun ke Thailand menaiki keretapi 😄. Dan besar lah harapanku, agar Allah makbulkan hajat untuk menunaikan umrah tahun 2021.

Rindu…

Bila kerinduan datang menjengah, air mata ini akan terus mengalir. Betullah orang kata, rindu yang paling sarat adalah rindu pada orang yang telah tiada. Walaupun mungkin sampai masanya ada penggantinya, yang lama tidak mungkin akan dapat dilupakan. Kehidupan yang kau lalui bersamanya selama hampir 20 tahun, mana mungkin akan kau lupakan, bukan...terkadang ia membuatkan hati ini berkecamuk dan memendam rasa. Tetapi, bila memikirkan semua itu ketentuan Ilahi, kita harus pasrah dalam menjalani kehidupan ini. Setiap yang berlaku telah ditetapkan Allah...qada' dan qadar yang Allah telah susun cantik buat hambaNya. Bagi aku, setiap yang berlaku dan telahpun berlaku, pasti ada hikmah yang pada suatu masa nanti, akan Allah jawab satu persatu doa yang telah ku mohon kepada Nya. Aku yakin dan sangat yakin, Allah sayangkan aku dan pasti ada jalan keluar atas setiap permasalahan yang aku hadapi.

Rindu…

Semakin mendalam untuk insan yang ada di depan mata. Walaupun jauh, tetapi terasa diri ini terlalu dekat. Hanya ungkapan sayang dan rindu yang berkata-kata. Andai satu masa nanti, Allah temukan jodohku dengan dia, aku akan menerimanya kerana aku tahu dia terlalu sayangkan aku. Dan aku sangat-sangat tahu bahawa dia juga sangat-sangat menyayangi suri hatinya. Aku hanyalah menumpang kasih dan mengharapkan keikhlasan darinya. Semoga Allah terus menjaganya sebagaimana doa yang aku titipkan buatnya agar suatu masa nanti dia akan menempa kejayaan dan hajatnya akan tercapai suatu masa nanti. Sabar lah duhai sayang...hidup penuh dengan sandiwara dan pancarobanya. Dan pengalaman hidup itu sendiri dapat mematangkan fikiran kita. Berfikir bukan hanya untuk kau, aku dan dia...tetapi untuk semuanya. Keluarga adalah segalanya bagiku. Kerana kasih dan sayangku adalah untuk mereka dan juga kamu.

Rindu…

Andai tiba waktunya aku dijemput pulang, aku ingin anak-anakku mendoakan aku sentiasa. Anak-anakku, berbuat baiklah sentiasa walaupun terkadang hati dan perasaan ini tidak rela. Hidup terkadang tak seindah yang disangkakan. Banyak rintangan dan liku-liku kehidupan yang kalian perlu jalani. Tetapi walaupun berat mana pun dugaan yang melanda, berpeganglah dengan tali Allah...Allahuakbar. Sesungguhnya hanya Allah tempat kita mengadu, hanya kepada Allah tempat kita bermohon. Mohon dan mintalah apa sahaja pada yang sepatutnya kita sembah, iaitu Allah yang satu. Ingat pesan mama, jika orang tidak suka kita, kita masih ada Allah tempat mengadu. Kita masih ada Allah tempat untuk berserah. Mama akan sentiasa doakan anak-anak mama berjaya di dunia dan akhirat selagi nyawa dikandung badan. Aamiinn…

Sampai sini coretanku, mata dah mengantuk 😴😴

Jumpa lagi, sayonara !!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan