Ahad, 9 Ogos 2020

Kerana Rindu Itu

Assalamualaikum semua...

Hujung minggu dihabiskan di Melaka. Nampak gayanya tiga minggu berturut-turutlah aku ke Melaka. Bermula dari cuti raya aidiladha, membawa kepada perkahwinan anak sepupu yang pertama minggu ini dan minggu depan sebab abah nak ke Pulau Besar bersama adik beradiknya. Tak kan aku nak biarkan abah naik motor pulak kan. Banyak dah pengorbanan abah membesarkan aku, tiba masa untuk aku menggembirakan abah pula. Ok lah, minggu ni kita balik santai-santai aje. Masa raya haji aku tak dapat nak lepak kat Pantai Siring, maka hajat itu dapat juga aku penuhi minggu ini. Moh tengok sunset yang aku tangkap...indahnya alam  ciptaan tuhan.


Sebaik matahari terbenam, air pun mulai pasang. Sejuk rasa malam itu dan terdengar bisikan ombak menghempas ke pantai. Tenang je rasa tetapi hati ini terasa rindu pula pada seseorang...hahaha. Rindu yang tidak tahu macamana nak aku luahkan tapi aku tahu dia pun rasa begitu.


Dari seorang teman...

Terima kasih kerana hadirmu mengajarkan aku untuk terus maju ke hadapan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa akan datang tetapi untuk hari ini dan hari seterusnya, kita perlu menjalani kehidupan ini dengan berlapang dada. Kau juga mengajarku erti ikhlas yang sebenarnya. Mengenalimu terkadang amat aku kesalkan kerana aku tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Setiap yang berlaku telah ditetapkan dan aku tidak boleh memutarkan masa. Andai diberi pilihan aku rela sendiri tetapi kehadiranmu membuatkan aku tersenyum dan tertawa. Aku merasa bahagia bila bersamamu. Begitu lah lumrah alam. Bila selalu bersama, pasti akan terdetik sesuatu di hati. Walaupun kau bukanlah pilihan citarasaku tetapi kau adalah yang terbaik melayaniku di kala ini. Aku tidak mungkin mencari yang sama denganmu kerana aku di ajar untuk setia. Kesetiaan sebagai seorang teman tapi mesra 😍

Teman,

Kerana sayang itu, setiaku korbankan. Hanya masa yang menentukan dan aku tidak mungkin berpaling lagi. Aku sayang padamu. Sayang itu lahir dari sudut hati yang paling dalam. Terkadang aku sendiri tidak mengerti kenapa rasa itu hadir. Yang aku tahu, sungguh aku sangat sayang padamu. Aku tidak akan mengkhianati perasaan itu dan aku harap Allah akan melindungi kita. Semoga kau berbahagia selalu di samping keluargamu tercinta. Aku hanya menumpang secebis kasihmu dan aku akan bersedia andai suatu hari nanti kasih itu hilang dari hidupku.

Amboiii ko ayu...jiwang pulak malam-malam ni. 🤣🤭. Mentang-mentanglah dapat pergi pantai kan, banyak nau ilham kau ye...haha. ok lah, minggu depan bawa mak & abah pulak ke pantai sesambil nak makan sotong tepung yang viral kt Pantai Siring tu...harap berkesempatanlah hendaknya.

Jumpa lagi, sayonara !!

Selasa, 4 Ogos 2020

Kehidupan disebalik Senyuman

Assalamualaikum semua...

Selamat pagi dan selamat bekerja pada yang bekerja. Aku still WFH jadinya, nak pergi office pun malas...hahaha. Buat keje dari rumah je selagi diberi kelonggaran kan...manfaatkan masa yang ada. Siapa kata WFH ni senang? Haaaa, ko rasa macamana. Aku rasa lagi susah kot keje dari rumah ni. Kalau kat opis tu, agak-agak bila rasa tension sikit, boleh lah keluar. Kalau kat rumah, terperuk aje lah. Hadap je lah apa pun yang team nak. Tapi yang best nye, bila duk kat rumah ni, anak-anak semua makan kat rumah, mama ada masa untuk memasak...so hari-harilah merasa air tangan mama. Kalau tidak dulu asal balik tengahari je bungkus...sebab tak sempat nak masak. Lagi pulak dak kembar ni masih belum masuk ke asrama, ntah bila lah nak dapat panggilan itu tapi sebab dah x de choice lain, kena tunggu je lah. Aku kalau ikutkan hati, mahu je hantar dorang kat tempat lain tapi sebab tempat lama tu berharap kan supaya anak-anak ini meneruskan pengajian di situ, maka mama turutkan lah. Banyak dah bakti mereka terhadap anak-anak ini.

Bercakap soal kebajikan anak-anak, terkadang orang luar lebih memahami daripada keluarga sendiri. Kerana aku yakin Allah sangat sayangkan aku dan anak-anak, Dia hadirkan insan yang berhati mulia disekelilingku. Allahu, betapa keyakinan itu tersangatlah tingginya. Kau berikanlah kasih sayangMu pada aku dan anak-anakku Ya Allah. Terima kasih atas RahmatMu.

Terkadang bila aku melihat kehidupan orang lain, aku merasa kehidupanku telah cukup sempurna. Aku tidak membandingkan kehidupanku dengan orang lain tetapi terkadang aku merasa ujian yang aku terima terlalu berat untuk aku pikul. Manusia hanya memandang setiap perlakuan yang kita tunjukkan di media sosial bahawa kita gembira tetapi mereka tidak tahu apa yang ada di dalam hati. Bagi aku, kalau bukan aku yang membahagiakan anak-anak, kau rasa ada ke orang lain yang hendak membahagiakan mereka? Ada ke orang lain yang prihatin terhadap mereka setiap hari? Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang bermain difikiran ini. Moga Allah memberi aku ketabahan dan kesabaran yang tinggi dalam mengharungi hidup ini. 

Terkadang bila aku keluar dan melihat sebuah keluarga berjalan-jalan, ada seorang bapa, ibu dan anak-anak, aku merenung anak-anakku yang hanya ada aku sebagai mama tanpa ayah, aku berasa sangat sedih. Tapi aku masih kuatkan hati ini supaya mereka sedar bahawa aku adalah mama yang terbaik buat mereka. Aku akan berusaha untuk membesarkan mereka dengan pertolongan dan perlindungan dari Yang Maha Esa. Ya Allah, bantulah aku dalam mendidik anak-anakku. Jadikan aku, anak-anakku dan zuriat keturunanku dalam golongan yang mendirikan solat. Sayangi dan berkatilah kehidupan kami di dunia dan akhirat. Ya Allah, perkenankan permintaanku, Aamiin.



Ok, tak nak lah touching sangatkan pagi-pagi ni. Hidup kena happy, barulah awet muda. Hahaha.

Jumpa pagi, sayonara !!


Isnin, 3 Ogos 2020

Rindu yang Tidak Membawa Erti

Assalamualaikum semua...

Selamat bekerja pada yang telah lama bercuti. Cuti 3 hari dimanfaatkan sepenuhnya bersama keluarga tersayang. Walaupun pagi Jumaat Aidiladha tu hujan turun dengan lebatnya, sambutan perayaan Hari Raya Korban disambut secara sederhana. Nan ado nak pakai baju raya,  malas nak gosok baju tapi aku tetap melawa di pagi itu...hahaha. Rugi wei kalau ko mandi tanpa niat aidiladha. Dapat sekali dua pahala mandi hari Jumaat tu. Pertama pahala mandi sunat Jumaat, kedua pahala mandi sunat aidiladha.


Rindu...
Bila kau mengatakan rindu pada orang yang salah...tanggunglah sendiri. Sapa suruh bermain dengan api, nanti terbakar diri sendiri. Sepi itu lebih baik andai kita tidak mahu melukakan diri sendiri. Ia bukan soal perasaan orang lain, tetapi ia adalah perasaan diri sendiri. Biarlah orang hendak menganggap diri kau selfish tapi andai itu yang dapat membahagiakan dirimu, maka sendiri itu lebih baik. 



Teman...
Bila keseorangan membuatkan aku terfikir, dalam kehidupan ini, apa lagi yang ingin aku impikan. Aku tidak mengharapkan lebih tetapi aku perlu membuat keputusan demi kebahagiaan diriku sendiri. Andai satu hari nanti aku akan  bersama orang lain yang boleh memberikan kasih sayang tanpa berbahagi kasih, aku akan menerimanya. Kerana aku tidak mungkin menyakiti hati wanita lain.

Sungguh, rindu itu sangat pedih...