Ahad, 9 Ogos 2020

Kerana Rindu Itu

Assalamualaikum semua...

Hujung minggu dihabiskan di Melaka. Nampak gayanya tiga minggu berturut-turutlah aku ke Melaka. Bermula dari cuti raya aidiladha, membawa kepada perkahwinan anak sepupu yang pertama minggu ini dan minggu depan sebab abah nak ke Pulau Besar bersama adik beradiknya. Tak kan aku nak biarkan abah naik motor pulak kan. Banyak dah pengorbanan abah membesarkan aku, tiba masa untuk aku menggembirakan abah pula. Ok lah, minggu ni kita balik santai-santai aje. Masa raya haji aku tak dapat nak lepak kat Pantai Siring, maka hajat itu dapat juga aku penuhi minggu ini. Moh tengok sunset yang aku tangkap...indahnya alam  ciptaan tuhan.


Sebaik matahari terbenam, air pun mulai pasang. Sejuk rasa malam itu dan terdengar bisikan ombak menghempas ke pantai. Tenang je rasa tetapi hati ini terasa rindu pula pada seseorang...hahaha. Rindu yang tidak tahu macamana nak aku luahkan tapi aku tahu dia pun rasa begitu.


Dari seorang teman...

Terima kasih kerana hadirmu mengajarkan aku untuk terus maju ke hadapan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa akan datang tetapi untuk hari ini dan hari seterusnya, kita perlu menjalani kehidupan ini dengan berlapang dada. Kau juga mengajarku erti ikhlas yang sebenarnya. Mengenalimu terkadang amat aku kesalkan kerana aku tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Setiap yang berlaku telah ditetapkan dan aku tidak boleh memutarkan masa. Andai diberi pilihan aku rela sendiri tetapi kehadiranmu membuatkan aku tersenyum dan tertawa. Aku merasa bahagia bila bersamamu. Begitu lah lumrah alam. Bila selalu bersama, pasti akan terdetik sesuatu di hati. Walaupun kau bukanlah pilihan citarasaku tetapi kau adalah yang terbaik melayaniku di kala ini. Aku tidak mungkin mencari yang sama denganmu kerana aku di ajar untuk setia. Kesetiaan sebagai seorang teman tapi mesra 😍

Teman,

Kerana sayang itu, setiaku korbankan. Hanya masa yang menentukan dan aku tidak mungkin berpaling lagi. Aku sayang padamu. Sayang itu lahir dari sudut hati yang paling dalam. Terkadang aku sendiri tidak mengerti kenapa rasa itu hadir. Yang aku tahu, sungguh aku sangat sayang padamu. Aku tidak akan mengkhianati perasaan itu dan aku harap Allah akan melindungi kita. Semoga kau berbahagia selalu di samping keluargamu tercinta. Aku hanya menumpang secebis kasihmu dan aku akan bersedia andai suatu hari nanti kasih itu hilang dari hidupku.

Amboiii ko ayu...jiwang pulak malam-malam ni. 🤣🤭. Mentang-mentanglah dapat pergi pantai kan, banyak nau ilham kau ye...haha. ok lah, minggu depan bawa mak & abah pulak ke pantai sesambil nak makan sotong tepung yang viral kt Pantai Siring tu...harap berkesempatanlah hendaknya.

Jumpa lagi, sayonara !!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan