Assalamualaikum semua…
Selamat berhujung minggu. Jenjalan di Pantai Remis petang ini, tak sangkalah pulak ramai orang ☺️, rupanya cuti sekolah. Walaupun hanya 4 hari, tetapi masa yang ada dapat dimanfaatkan bersama keluarga tersayang. Ok, minggu ni kita rehat sikit, minggu depan kita ke Melaka lagi. Selagi ada orang tua, selagi itulah kita turutkan kemahuan mereka. Moga mereka dikurniakan kesihatan yang baik dan sihat selalu.
Teman,
Andai kau tahu, betapa bahagianya aku mengenalimu. Aku harus bersyukur pada tuhan kerana menemukan kita. Kau telah mengisi kekosongan hatiku, walaupun aku sendiri tidak tahu berapa lama hubungan ini namun aku percaya andai takdir menemukan kita, dan takdir jugalah yang memisahkan kita. Namun, aku ingin kau tahu, bahawa aku sangat-sangat menyayangimu. Perasaan ini lahir dari sudut hati yang paling dalam dan aku sendiri tidak mengerti mengapa kau yang menjadi pilihan. Mungkin kau pandai mencuri hatiku dan dari permulaannya aku hanya ingin berteman dan akhirnya aku jatuh hati padamu.
Terkadang aku jadi malu pada perasaan ini tetapi aku tidak berdaya menafikan. Aku sayang padamu...itu lah ayat yang selalu aku ucapkan pada dirimu. "I love U", ungkapan yang berbalas menjadikan hati ini berbunga ceria. Terima kasih atas kasih sayangmu. Nilai kasihmu tidak terbanding dengan kata-kata tetapi ia lahir dari hati yang tulus ikhlas. Sesuatu yang dapat aku rasakan dari dulu lagi cuma aku malu pada diri ini. Aku malu kerana aku hanyalah seorang wanita yang hanya menumpang kasih darimu.
Teman,
Andai satu hari kita terpisah dengan haluan sendiri, namamu akan mekar di ingatan ini. Setiap pertemuan dan kasih sayang yang kau beri akan ku ingat buat selamanya. Sungguhpun begitu, aku mengharapkan sesuatu yang baik dengan perkenalan ini dan ia berkekalan hingga hujung nyawa. Aku bukanlah wanita yang senang di ajak berbicara tetapi keperibadianmu sangat menarik hatiku. Kau mempunyai semangat yang kuat untuk terus mengecapi bahagia dan kau berhak untuk bahagia. Aku sentiasa mendoakan agar dirimu sentiasa bahagia dan di bawah limpahan kasih sayang dari Allah SWT.
Teman,
Maafkan aku kerana kau terlalu berusaha untuk menjaga hatiku. Perhatian yang kau berikan padaku sesungguhnya sudah mencukupi buatku. Aku tidak mahu berlebihan kerana andai perpisahan terjadi, ia akan menjadi parah dihati. Bukan mudah untuk aku menyerahkan hati ini tetapi ada ruang buatmu di situ. 💞 Hati ini usah kau ragukan kerana ia tersimpan khas untuk dirimu. Seperti mana lagu kesukaanmu 'Sambutlah Kasih' ...akan kusambut kasihmu itu 💖💝.
Teman,
Aku mengharapkan agar segala impian yang ingin kau kecapi tercapai satu hari nanti. Dalam doaku ada kusebut namamu. Satu nama yang terpahat dihati ini selain dari doa buat diriku, anak2, mak abah, keluargaku, arwah suamiku dan kaum muslimin dan muslimat di dunia ini. Moga kita semua menjadi pewaris Nabi Muhamad SAW. Aamiin
Ok, sampai sini je, terjiwang pulak malam-malam ni kan. Selamat malam, bye...
Jumpa lagi, sayonara !!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan