Selasa, 11 Ogos 2020

Aku adalah aku

 Assalamualaikum semua…

Hari ini cuaca redup je, gerimis mengundang seawal pagi. Redup membawa sehingga ke petang. Pagi-pagi dah mengadap kerja dengan melayan wasap bosku. Haaa, macam biasa lah kan, kerja hakiki selain menjawab email, file untuk bos meeting, melayan kerenah team RU, kerenah staf lagi...amekkaw, hadap je semua. Orang kata, bila kita buat  sesuatu pekerjaan sesuai dengan gaji yang kita dapat, pasti ada keberkatannya. Rezeki yang berkat, sedikitnya cukup dan banyaknya dapat diagihkan kepada orang lain. Petua dia mudah je...banyakkan bersedekah. Tidak kira walaupun RM1 yang dimasukkan ke dalam tabung sedekah subuh tu...ganjarannya pasti ada.

Sehari dua ni, banyak benda yang bermain di fikiran. Aku ni pesen dia, kalau aku cakap ya maksudnya 'ya' tapi kalau tidak, means 'no' lah. Aku jenis yang tidak suka berkias-kias. Stright to the point je lah. Malas ko nak semakkan kepala. Terkadang aku terfikir, salahkah aku untuk berkawan dengan lelaki yang merupakan suami orang? Salah ke aku jika lelaki itu memberi harapan untuk membahagiakan aku. Bahagia bukan sebab harta benda, tapi sebab sekeping hati yang tulus menyayangi. Harta boleh di cari, selagi mana kita berusaha dan berdoa. Adakah dengan berkenalan ini orang akan mengatakan aku ni bodoh sebab memilih lelaki yang begini @ begitu...Salah ke?

Gambar kredit to FB


Pengalaman hidup mengajarku untuk menilai sikap manusia. Aku tidak mengatakan aku ni terlalu baik, tetapi pengalaman itu menjadikan aku manusia yang berhati-hati untuk memulakan perkenalan. Aku bukanlah sejenis yang boleh berkawan dengan siapa saja. Sudah tentulah aku memilih kan...sedangkan syurga dan neraka pun kita sendiri yang memilih jalannya, ini kan pula berteman. Pilihan itu ada di tangan kita masing-masing, samada kita berani menyahutnya atau tidak. Andai sampainya waktu, apa jua ketetapan yang Allah berikan, aku akan menerimanya. Biarlah masa yang menentukan.

Aku bukanlah wanita yang reti berbahagi kasih. Kesetiaanku sangat tinggi sehingga satu masa aku tidak diperlukan, aku rela mengundur diri. Terkadang kita tidak mahu menyakiti hati orang, tetapi perlakuan kita tetap tersakiti tanpa kita sedar. Bila kita tidak berani berterus terang, maka bersedialah kita merasa pahitnya kenyataan yang akan kita tempuh. Aku tidak mengatakan soal cinta kerana cinta bagiku terlalu agong untuk diberi. Aku mencari cinta yang hakiki yang kekal abadi. Aku ingin ke syurga Mu Ya Allah. Bimbinglah aku ke jalan yang Kau redhai.

Lumrah manusia hidup di dunia ini untuk berkasih sayang. Kasih sayang yang utuh yang dapat membawa kita ke sana nanti. Aku tersangat sayang pada arwah suamiku tetapi takdir Allah, kita terpisah jua. Semua yang kita miliki hanyalah sementara. Dan aku mengambil setiap yang berlaku sebagai satu hikmah yang kita tidak tahu apa yang ingin Allah sampaikan dan beri pada kita. Kerana itu, sentiasa lah bersangka baik pada Allah. Setiap kita mempunyai doa masing-masing, dan setiap doa yang kita mohon akan Allah kabulkan satu persatu pada masa yang sesuai. Andai doa kita belum dikabulkan, Allah ingin mendengar rintihan kita kepada Nya. Maka, berdoa dan teruslah berdoa tanpa jemu.

Teman, aku tidak mahu menyakiti hatimu kerana aku tahu tulusnya kasihmu itu terhadapku. Ia hadir disaat aku bermohon pada Allah untuk aku melupakan seseorang yang telah mengusik hatiku dan kau hadir mewarnai kehidupanku. Aku tidak mempunyai jawapan kenapa kamu tetapi aku yakin bahawa Allah telah melorongkan perkenalan ini menjadi sesuatu yang baik. Bersamamu aku merasa bahagia. Mungkin ada orang lain yang berdoa sepertiku tetapi ketentuan Allah tidak dapat aku tolak. Ia datang secara tidak sengaja dan aku memilih kamu untuk dijadikan teman. Bagiku, cukuplah seorang teman yang hadir menyerikan hidupku. 

Teman, aku sedar siapa diri ini. Aku hanya menumpang kasihmu dan aku tidak akan berpaling darimu sehinggalah diri ini tidak diperlukan lagi. Walaupun perkenalan ini menjadi rahsia pada insan-insan yang aku sayang, namun aku harap andai tiba saatnya mereka tahu...mereka akan mengerti.

Teman, selamat hari lahir untukmu. Aku sentiasa berdoa agar hidupmu sentiasa bahagia dan sentiasa di bawah naungan Allah SWT.

Perkenalan ini Allah jua yang menitipkan rasa. Terima kasih Allah atas anugerah Mu.

Selamat malam...jumpa lagi...sayonara !!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan