Jumaat, 1 November 2019

Memaafkan Itu Lebih Baik

Assalamualaikum semua


Selamat berhujung minggu. Bila cuti ni, ligat lah otak ni berpikir nak jalan-jalan kat mana kan...haha. Malam tadi dak kembar call, suh mama dating bawak dia keluar. Nak cari raket katanya, nak main kat asrama. Hmmmm...macam-macam lah anak-anak ni. Ntah pergi mana lah raket yang ada kat rumah ni dulu….apa setiap kali nak main badminton ko dah kena beli baru kenapa? huhu. Sebab dorang tak dapat cuti awal, dapatlah mama pergi Sarawak dengan tenang nanti. Maaf lah ye anak-anak lelaki mama tak dapat nak ikut sekali. Mama dah beli tiket awal. Nanti tahun depan mama try plan ke Sabah pulak..jika diizinkan Allah.

Pengalaman hidup menjadikan manusia lebih dewasa. Kematangan fikiran bergantung kepada pengalaman yang pernah mereka lalui dalam kehidupan ini...eh! Ada gak kot yang kurang matang walaupun dah tua  😂

Hidup kat dunia ini penuh dengan sandiwara. Kita merupakan sebahagian lakonan yang mewarnai kehidupan ini. Baik lakonan kita, maka baiklah persepsi orang kepada kita. Buruk lakonan kita, maka buruklah persepsi orang kepada kita. Manusia menilai di atas apa yang mereka lihat dan dengar. Mereka tidak pernah mahu menanyakan atau mengambil tahu kenapa? mengapa? sebab apa? kita melakukan sesuatu perkara itu...yang mereka tahu hanya menilai dan tidak semua penilaian yang mereka lakukan adalah betul.

Setiap makhluk yang bernyawa, pasti ada melakukan kesilapan. Samada kesilapan itu secara lahirnya dia sedar atau tidak. Sebab hati manusia semuanya tak sama. Nampak tak keindahan yang Allah ciptakan buat kita makhluknya. Kalau hati manusia semua sama, tak delah pro and cons dalam kehidupan kita. Dan disebabkan kesilapan yang pernah kita lakukan, memaafkan diri sendiri adalah lebih baik. Sebelum kita nak memaafkan orang lain, baik lah kiranya kita memaafkan diri kita sendiri. Selepas itu, barulah kita memaafkan orang lain. Bagi ruang di hati sendiri untuk memaafkan agar bila kita memaafkan orang lain, kita tidak akan bercakap lagi mengenainya. 

Sesudah memaafkan, lupakan semua yang telah terjadi, buka lembaran baru. Jangan dicerita apa yang telah berlaku kerana masa lalu tidak dapat diundur. Hadapilah masa depan dengan penuh ketakwaan dan tersenyumlah. Sesungguhnya senyuman itu mengubat luka. 😊😄

Jumpa lagi, sayonara !!

Khamis, 31 Oktober 2019

Bahagia Itu Milik Siapa?

Gambar kredit to google


Apa khabar? Ceria-ceriakan lah hidup kita walaupun terkadang hati pedih 😔 Ingat mudah ke nak merawat hati. Apatah lagi setelah dilukai. Anyway...perasaanku saat ini LEGA....sebab Allah nak tunjukkan kepadaku siapa kawan sebenar. Tak pasal-pasal adik-adik satu kerja kena dengar kakak meluah perasaan...kahkahkah. Ok, tak payah fikir sangat. Esok dah masuk bulan November. Bulan baru lembaran baru bagi bulan ini. Yang berlalu biar berlalu, kita lalui dengan penuh ketabahan. 

BAHAGIA itu bagi aku adalah suatu perkara yang subjektif. Bahagia boleh datang dengan pelbagai cara terpulang kepada penerimaan individu itu sendiri. Ada orang, dapat makan makanan idaman pun dah boleh membahagiakan. Ada orang, bila dapat kereta idaman itu pun salah satu bentuk bahagia. Bahagia tidak diukur pada harga atau wang ringgit, tetapi ia hadir bila kita dapat merasainya. Bagi aku, bila aku diizinkan untuk bangun malam untuk bertahajud, dapat kurasakan sesuatu yang Allah bagi yang dapat membahagiakan hati aku. Terasa dekatnya diri dengan Maha Pencipta. Terasa segala beban terlepas selepas mengadu pada Nya. Masa ni, nak menangis pun tak mengapa. Sebab aku tengah bercakap dengan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Betapa diri ini tahu, betapa besarnya kasih sayang Allah. Moga Allah tetapkan iman di hatiku agar aku terus istiqamah dalam mengejar Syurga Firdaus.

Jom kita sama-sama terus istiqamah dalam melakukan ibadah seharian. Semoga kita sentiasa di bawah lindungan-Nya. Sama-sama kita jaga lidah, jaga perbuatan, jaga tingkahlaku. Aku menulis bukan kerana aku nak tunjuk baik, tapi aku menulis sebagai peringatan buat diriku sendiri dan pada mereka yang membaca. Ntah ada yang baca ke idak tu...haha

Rasa-rasa macam nak luah rasa tapi nantilah…idea dah kering ni hehe

Jumpa lagi, sayonara !!

Ahad, 27 Oktober 2019

Ingat Mengingati

Assalamualaikum semua..

Berhujung minggu lagi kita sebab ada tambahan cuti sempena Deepavali. Anak mama yang sulong pun telah berangkat ke Poli..tinggal lah kami berlima. Semalam petang sesaja lah bawak anak-anak beriadah di Taman Rekreasi Seksyen 7...dapat jugaklah buat 2 pusingan keliling tasik tu. Sesekali menjalankan aktiviti sihat di petang hari sambil mengeluarkan peluh. Dan apa yang mama lihat semasa di sana, kaum lelaki masih ada yang menggunakan seluar pendek untuk bersenam. Aduh...aurat yang paling senang mereka jaga tapi masih tidak dapat menutupinya. Malu rasanya. Melihat kepada kejadian itu, baru mama tersedar semasa kami menjalankan aktiviti kelab, ada seorang staf yang berpangkat pakcik ada menegur supaya orang lelaki menutup aurat dengan betul. 👀 At least ko pakailah seluar pendek yang menutupi sampai lututkan..tak de lah janggal sangat. Huhu. Kalau orang perempuan ni memang banyaklah nak kena jaga walaupun terkadang tu terselak jugaklah sana sini..aduhdu 😥 Moga kita semua terpelihara daripada godaan syaitan.

Disebabkan semalam dah kepenatan berjalan aka berlari, pagi ni terlajak pulak tidurnya. Pukul 615 pagi anak no 3 kejut suh solat.

Anak   : Mama, mama solat ke cuti?
Mama : Solat…(jawab dalam keadaan mamai). Dah pukul berapa ni?
Anak   : Pukul 615 pagi, Iman dah ambil wuduk tinggal nak solat je..
Mama : Ha..iyalah, mama bangun ni..(terasa letih sangat badan sebab dah lama tak exercise 😂😂)

Begitulah kehidupan. Ada masa kita terleka, ada masa kita lalai dengan hasutan dunia. Tapi Allah hadirkan seseorang untuk menegur kita. Seseorang itu kadangnya orang yang paling dekat dengan kita, dan seseorang itu adalah orang yang tak pernah kita sangka akan menegur kita. Bila Allah sayang, Allah hadirkan mereka kepada kita untuk menegur dan saling ingat mengingati. Kehidupan membuatkan mama berfikir, untuk apakah kita hidup di muka bumi ini? Hidup bukan untuk menunjuk siapa bagus dan siapa tidak. Hidup adalah untuk mencari kehidupan selepas kita dimatikan. Mama teringat sewaktu emak sangat-sangat inginkan anak-anak mengikuti program pengurusan jenazah di surau. Dan kebetulan mama diberikan peluang untuk menghadirkan diri dalam program tersebut. Beria-ia mak suh mama duduk dekat ngan model jenazah tu...hulurkan kain kapan dan tolong apa yang patut. Allahu 😭 Tidakkah ko terasa disebalik kehendak dan keinginan seorang ibu? Huaaa...rasa nak nangis. Tingginya harapan mak agar suatu hari nanti aku dapat memandi dan mengkafankannya. Tapi adat di dunia, kita tidak tahu siapa yang akan pergi dulu meninggalkan dunia ini. Jika ini persediaan yang perlu aku hadapi, aku memang telah bersedia. Moga Allah memberikan ku kesempatan untuk melakukannya. 😭😭😭

Pagi ini pula, mendengar ceramah seorang ustazah. Bila perginya seorang ibu atau bapa, akan ada anak soleh yang akan memandi dan mengkafankannya. Ya, apa yang aku pelajari...memandi dan mengkafankan jenazah tidak semua orang boleh lakukan. Walaupun itu fardu kifayah yang dituntut tetapi ada yang tidak sanggup dan belum bersedia. Aku berharap, aku tergolong di antara anak-anak soleh yang mendoakan ibu bapaku. Moga aku terus istiqomah dalam melakukan ibadah harian. Bantulah aku Ya Allah. Aku memerlukan kasih sayangMu. Jadikan aku hamba yang Kau kasihi dan ingatilah aku sebagai hamba Mu.

Bukan mudah untuk meletakkan tahap iman seseorang. Iman ada pasang surutnya. Semoga kita terus menerus mengejar Syurga Allah. Mengejar kehidupan yang kekal abadi di alam sana. Aku menulis bukan bermakna aku baik tetapi aku menulis sebagai ingatan buat diri sendiri, buat anak-anak dan buat mereka yang membaca. Moga coretan ini membawa manfaat kepada kita semua.

Jumpa lagi, sayonara !!