Sabtu, 24 Oktober 2020

Coretan Buat Anak-anakku

Assalamualaikum semua…

Selamat berhujung minggu. Semoga hari-hari yang kita lalui memberi sinar kebahagian dalam hidup kita. Minggu ni mama tidak ke mana-mana sebab mata pun dah bengkak. Penyakit tahunan datang lagi. Mama sangka baik je lah, sesungguhnya penyakit itu penghapus dosa. Moga kehidupan ini diberkati Allah.


Anak-anakku…

Sesungguhnya dalam hidup ini yang hanya sementara, sama-samalah kita mengecapi kebahagiaan dan keindahannya. Mama tidak mengharapkan lebih daripada kalian. Mama hanya mahukan anak-anak mama berjaya di dunia dan akhirat, belajar dan menjaga solat. Setiap hari mama berdoa agar anak-anak mama diberikan kemudahan dan kefahaman dalam menghadapi pelajaran. Moga kejayaan mengiringi setiap langkah kalian, anak-anakku.

Anak-anakku…

Betapa mama sangat menyayangi anak-anak semua. Andai nyawa ini menjadi taruhan, mama sedia menggantinya. Mama mahu anak-anak mama tersenyum gembira. Andai kalian sakit, biar lah sakit itu diberikan kepada mama. Biar mama yang menanggung kesakitan itu. Seboleh-bolehnya mama ingin mengikut apa sahaja kemahuan anak-anak walaupun terkadang mama tak mampu untuk lakukan, tetapi mama akan berusaha untuk merealisasikan impian anak-anak. Mama hanya ingin anak-anak merasa dihargai, hidup dalam kasih sayang sesama kita. Hidup dalam kekeluargaan yang harmoni dan saling hormat menghormati.

Anak-anakku…

Masa berlalu begitu pantas dan kalian membesar dari tahun ke tahun. Sampai waktunya, kalian akan hidup berpasangan dengan pilihan masing-masing. Mama hanya mampu berdoa dari jauh agar anak-anak mama hidup aman dan bahagia. Bahagia kerana mempunyai pasangan hidup yang menjadi pilihan hati kalian. Di saat itu, anak-anakku...kalian akan memulai hidup yang baru, terasing dari mama dan akhirnya mama akan tinggal sendirian, yang sampai waktunya mama akan menunggu anak-anak datang melawat mama. Mama dapat merasakan apa yang nenek rasa, tetapi tuntutan hidup memaksa anak-anak untuk hidup berdikari dan berusaha mencari rezeki demi kelangsungan hidup bersama keluarga baru. Itulah lumrah kehidupan dari kecil hingga dewasa. Dan kehidupan ini hendaklah kita tempuh dengan yakin dan sabar, semoga apa jua yang kita lakukan mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Anak-anakku…

Maafkan mama kerana telah mengguris hati kalian. Mama tidak ada niat pun hendak menyakiti hati anak-anak. Mama hanya mengikut aturan yang Allah telah rencanakan. Mama yakin setiap yang berlaku, ada HIKMAH yang tersembunyi. Bersangka baik pada Allah dan perkara yang baik-baik akan datang kepada kita. Mama berdoa agar perjalanan hidup kita semua diberkati Allah.

Ya Allah,

Jadikan aku, anak-anakku dan zuriat keturunanku dalam golongan yang mendirikan solat. Perkenankan permintaanku ini. Aamiin

Moga Allah redha akan setiap yang telah berlaku dan akan berlaku. Dan semoga kita semua di bawah peliharaan dan kasih sayang serta mendapat rahmat dari Nya. Aamiin

Subhanallah
Alhamdulillah
La'ilahaillallah
Allahuakbar


Jumpa lagi, sayonara !!

Khamis, 22 Oktober 2020

Izinkan aku bahagia

 Assalamualaikum semua...

PKPB bersambung lagi minggu ini, harap-harap tidak bersambung. Memandangkan kes yang meningkat setiap hari, jadi risau jugak sebenarnya. Nak keluar sangat pun tak seronok sebab tak dapat ramai-ramai. Dengan air tak de lagi...lalalala, mencabar kesabaran sungguh. Semua tu dugaan bagi kehidupan di dunia ini. Sabar je...selagi masih bernafas.

gambar dari wasap group


Setiap tahun, di hari lahirku...ramai rakan-rakan, sahabat mendoakan agar aku terus berjaya di dunia dan akhirat dan kebanyakannya mendoakan agar aku bertemu jodoh? walaweiiii...napa pulak lah korang especially my bff mendoakan begitu. Mungkin mereka ingin melihat aku bahagia dan gembira. Terkadang aku bertanya pada diriku sendiri...tidak bahagiakah aku? Aku rasa aku telah bahagia tetapi mungkin kesepian yang terkadang aku hadapi menjadikan aku tidak bahagia? Ntah lah...terkadang aku sendiri tidak mengerti. Aku hanya mengikut aturan yang Allah telah tetapkan dan merencanakan untukku. Aku tidak mahu menidakkan ketetapan yang Allah telah berikan. Aku hanya mampu berserah dan berdoa agar apa sahaja yang datang kepadaku adalah yang baik-baik belaka. Sesungguhnya apa jua yang Allah beri, aku akan menerima seadanya dan bersyukur di atas setiap nikmat yang telah aku perolehi.

Dan di waktu ini, aku sangat menyayangi seseorang yang dapat mengisi kekosongan hatiku. Walaupun aku tahu, perbuatanku ini salah, tapi aku tidak dapat menafikan dan menolak perasaan itu. Adakah sayang itu boleh dipaksa? Adakah bersalah kerana menjadi yang kedua? Aku sendiri berusaha untuk menolaknya tetapi aku tidak berdaya kerana perasaan itu semakin hari semakin kuat aku rasakan. Adakah ini ujian yang Allah beri untuk aku berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Setiap hari aku berdoa agar Allah memberikan aku ketenangan, ketabahan, keimanan dalam menghadapi hari-hari mendatang. Aku harus kuat demi anak-anakku. Kejayaan dan kesenangan yang Allah beri bukan untuk menjadikan aku sombong tetapi Allah beri untuk aku membantu dan menolong orang lain. Biarlah apa yang aku lakukan hanya Allah yang tahu dan semoga apa yang telah aku buat mendapat restu dari Yang Esa. Ya Allah, semoga setiap kebaikan yang datang daripada Mu membawa kebaikan kepada diriku dan orang-orang disekelilingku. Aku memerlukan Rahmat dan Kasih Sayang Mu. Izinkan aku bahagia Ya Allah walaupun hanya sebentar cuma. Aku yakin setiap orang menginginkan hidup yang bahagia dan berkekalan hingga hujung nyawa. Tetapi apa jua yang telah Engkau tetapkan, aku redha dan pasrah. Aku mengambil iktibar akan setiap kejadian yang menimpaku dan aku mengharapkan Engkau menjagaku setiap detik dan saat sebagai hamba Mu yang sangat lemah. Berilah aku kesempatan untuk terus menjaga amanah Mu ini iaitu anak-anakku, berilah aku kesempatan untuk aku berbakti kepada kedua orang tuaku, berilah aku kesempatan untuk membahagikan dia yang aku sayang. Aku bermohon kepada Mu Ya Allah, agar perjalanan hidupku mendapat keberkatan dari Mu. Redhailah perjalanan hidupku. Aamiin…

Masa untuk sambung kerja. Jumpa lagi, sayonara !!

Ahad, 11 Oktober 2020

Mereka Tidak Mengerti

Assalamualaikum semua…

Selamat berhujung minggu. Minggu ni masa untuk mengemas bilik anak bujang nan 3 orang tu. Yang sulong nak ada bilik sendiri, dah tak nak tidur sekatil dengan mama. Senang nak OTP katanya. Sebelum ni bilik tengah tu bagi kat dak kembar tidur. Sekarang kakak dia nak ambil alih, maklumlah, tahun depan dah habis belajar...haruslah ada bilik sendiri katanya. Aku dulu masa duduk dengan mak, ada dua bilik je kat rumah. Boleh je hidup kan...keselesaan di tolak tepi kerana ramai adik beradik. Anak dulu-dulu merasa hidup susah dan tidak banyak merungut berbanding dengan anak zaman sekarang. Kesusahan dan kesukaran hidup yang dulu banyak mengajar aku erti tabah dan bersabar. Anak-anak zaman sekarang kebanyakkannya semua telah di atur oleh ibu bapa. Belum habis sekolah telah diberi motor dan kereta. anak aku lah tu 😅...haha.

Terkadang, bukan aku hendak memanjakan anak...tetapi tuntutan hidup ini untuk anak-anak berdikari sendiri itu lebih penting. Hidup sebagai ibu tunggal yang mana semua kerja harus kau lakukan sendiri, aku perlu mengajar anak-anak untuk mereka berdikari dan membuat sendiri perkara yang boleh mereka lakukan. Kekangan masa juga membataskan aku untuk mengikut segala kehendak mereka. Tetapi apabila mereka merasa kehidupan yang cukup selesa, mereka lupa apa yang aku inginkan. Ada masanya walaupun aku dikelilingi oleh keluarga yang memahami, sepi itu tetap menjengah kelopak hatiku. Bukan aku hendak membuai rasa, tapi perasaan itu hadir tanpa di duga. Bila perasaan bahagia itu datang, dan aku diminta untuk melupakan. Bersalahkah aku kerana ingin merasa bahagia?

Aku pernah berfikir jika tindakanku ini akan menyakiti hati orang-orang disekelilingiku. Tapi, perasaan aku? Dapatkah mereka memahami apa yang aku rasa? Di saat aku sedih dan rawan, mana mereka yang terlalu menyayangi aku? Akhirnya aku sendiri, berteleku di tikar sejadah.dan memohon kasih pada ilahi moga aku insan yang Allah pilih untuk disayangi. Moga Allah memberi secebis kekuatan untuk aku mengharungi sisa-sia hidup yang tinggal tidak seberapa lama lagi dan moga Allah memberi kebahagiaan buatku sebelum mata ini tertutup rapat.

Aku mengandaikan bahawa, mereka tidak mengerti apa yang aku harapkan, apa yang aku inginkan. Salah ke sebuah perkenalan di akhiri dengan selafaz akad? Aku harap suatu hari nanti mereka akan mengerti dan memahami kenapa aku bertindak sedemikian. Hubungan sesama manusia bukanlah hanya semata nafsu dan harta, tetapi hubungan sesama manusia adalah untuk sayang menyayangi dan kasih mengasihani. Memberi dan menerima atas setiap kelebihan dan kekurangan yang ada.

Walau apapun yang terjadi, aku akan pertahankan kasih yang telah tersemai dalam hati ini. Aku percaya ada sinar di atas setiap apa yang berlaku. Allah sedang menguji aku erti kesabaran dan aku harus bersabar. Moga Allah redha atas setiap tindakan dan perlakuanku. Aamiin 

Peneman di kala sunyi...hadiah dari seorang insan yang sangat istimewa 💙💙💙



Jumpa lagi, sayonara !!

Nota hati : terkadang yang menjadikan kau lebih pedih apabila kau tidak lagi diperduli oleh orang-orang yang kau sayang sedangkan telah banyak pengorbanan yang kau berikan tanpa mereka sedar...Allah sedang mengujiku, bertabahlah duhai hati