Sabtu, 28 November 2020

Keinginan dan kemahuan

Assalamualaikum semua…



Selamat berhujung minggu. Sesungguhnya sakit itu penghapus dosa. Moga apa jua yang berlaku dalam hidup ini akan mendapat keberkahan dari Yang Maha Esa, Allah Ya Rahman Ya Rahim

Kehidupan ini mengajar aku banyak perkara. Terkadang hidup ini terasa sangat sakit, sakit di mana kau rasa mahu pergi buat selamanya. Namun, bila keesokkan harinya kau terjaga dari lenamu, hidup perlu diteruskan. Sebagaimana janji Allah, "Aku tidak menduga hambaKu sesuai dengan kemampuannya". Jalanilah hidup ini dengan mencari redhaNya. Kehidupan manusia yang sentiasa berbuat silap, di mana siang harinya dia melakukan dosa dan malam harinya dia memohon ampun kepada Allah. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Berilah kami jalan keluar di atas semua permasalahan yang kami hadapi. Hanya Engkau yang lebih mengerti apa yang telah berlaku dan moga pengakhirannya juga baik buat kami. 

Terkadang hidup ini menjadikan kita keliru. keliru dengan diri sendiri. Adakah jalan keluar dari kekeliruan ini? Kita hanya merancang tetapi Allah jua yang menentukan. Moga Allah redha. Dan dalam hidup ini, ada masanya kita melebihkan orang-orang yang kita sayang sehingga kita terlupa untuk menunaikan kehendak dan impian kita. Benarlah kata orang dulu-dulu, bila sayang itu melebihi segalanya, apa pun kita sanggup lakukan. Apa jua yang kita lakukan, biarlah menjadi rahsia hidup. Hidup yang tidak akan kekal lama, di mana suatu hari nanti...kita akan meninggalkan dunia yang penuh pancaroba ini. Dan bila saatnya tiba, kita tidak boleh berbuat apa, hanya amalan dan doa yang mengiringi di alam sana yang kekal abadi.

Hidup bukan untuk hari ini, esok dan seterusnya. Hidup adalah jambatan untuk kita sediakan di alam akhirat. Syurga adalah pilihan dan neraka itu juga adalah pilihan. Pilihan yang kita pilih semasa di dunia ini. Takutnya bila menghadapi kematian. Ya Allah, matikan aku dalam keadaan husnul khotimah. Matikan aku dalam islam. Matikan aku dalam iman dan takwa. Moga dipenghujung hayatku nanti dapat aku sebut kalimah AgongMu Ya Allah. Aamiin

Kerana hidup ini satu keindahan yang Allah beri, cari dan rasainya. Yang pergi tidak mungkin akan kembali, hanya doa yang sentiasa mengiringi. Aku tidak mungkin melupakan insan yang telah pergi tetapi kehidupan ini harus diteruskan dengan tenang dan gembira. Andai ada hati yang terluka, aku memohon maaf kerana aku manusia biasa yang juga memerlukan perhatian dan sokongan dari insan yang menyayangiku.

Sekian coretan pagiku. 

Jumpa lagi, sayonara !!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan