Sabtu, 24 Oktober 2020

Coretan Buat Anak-anakku

Assalamualaikum semua…

Selamat berhujung minggu. Semoga hari-hari yang kita lalui memberi sinar kebahagian dalam hidup kita. Minggu ni mama tidak ke mana-mana sebab mata pun dah bengkak. Penyakit tahunan datang lagi. Mama sangka baik je lah, sesungguhnya penyakit itu penghapus dosa. Moga kehidupan ini diberkati Allah.


Anak-anakku…

Sesungguhnya dalam hidup ini yang hanya sementara, sama-samalah kita mengecapi kebahagiaan dan keindahannya. Mama tidak mengharapkan lebih daripada kalian. Mama hanya mahukan anak-anak mama berjaya di dunia dan akhirat, belajar dan menjaga solat. Setiap hari mama berdoa agar anak-anak mama diberikan kemudahan dan kefahaman dalam menghadapi pelajaran. Moga kejayaan mengiringi setiap langkah kalian, anak-anakku.

Anak-anakku…

Betapa mama sangat menyayangi anak-anak semua. Andai nyawa ini menjadi taruhan, mama sedia menggantinya. Mama mahu anak-anak mama tersenyum gembira. Andai kalian sakit, biar lah sakit itu diberikan kepada mama. Biar mama yang menanggung kesakitan itu. Seboleh-bolehnya mama ingin mengikut apa sahaja kemahuan anak-anak walaupun terkadang mama tak mampu untuk lakukan, tetapi mama akan berusaha untuk merealisasikan impian anak-anak. Mama hanya ingin anak-anak merasa dihargai, hidup dalam kasih sayang sesama kita. Hidup dalam kekeluargaan yang harmoni dan saling hormat menghormati.

Anak-anakku…

Masa berlalu begitu pantas dan kalian membesar dari tahun ke tahun. Sampai waktunya, kalian akan hidup berpasangan dengan pilihan masing-masing. Mama hanya mampu berdoa dari jauh agar anak-anak mama hidup aman dan bahagia. Bahagia kerana mempunyai pasangan hidup yang menjadi pilihan hati kalian. Di saat itu, anak-anakku...kalian akan memulai hidup yang baru, terasing dari mama dan akhirnya mama akan tinggal sendirian, yang sampai waktunya mama akan menunggu anak-anak datang melawat mama. Mama dapat merasakan apa yang nenek rasa, tetapi tuntutan hidup memaksa anak-anak untuk hidup berdikari dan berusaha mencari rezeki demi kelangsungan hidup bersama keluarga baru. Itulah lumrah kehidupan dari kecil hingga dewasa. Dan kehidupan ini hendaklah kita tempuh dengan yakin dan sabar, semoga apa jua yang kita lakukan mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Anak-anakku…

Maafkan mama kerana telah mengguris hati kalian. Mama tidak ada niat pun hendak menyakiti hati anak-anak. Mama hanya mengikut aturan yang Allah telah rencanakan. Mama yakin setiap yang berlaku, ada HIKMAH yang tersembunyi. Bersangka baik pada Allah dan perkara yang baik-baik akan datang kepada kita. Mama berdoa agar perjalanan hidup kita semua diberkati Allah.

Ya Allah,

Jadikan aku, anak-anakku dan zuriat keturunanku dalam golongan yang mendirikan solat. Perkenankan permintaanku ini. Aamiin

Moga Allah redha akan setiap yang telah berlaku dan akan berlaku. Dan semoga kita semua di bawah peliharaan dan kasih sayang serta mendapat rahmat dari Nya. Aamiin

Subhanallah
Alhamdulillah
La'ilahaillallah
Allahuakbar


Jumpa lagi, sayonara !!

Khamis, 22 Oktober 2020

Izinkan aku bahagia

 Assalamualaikum semua...

PKPB bersambung lagi minggu ini, harap-harap tidak bersambung. Memandangkan kes yang meningkat setiap hari, jadi risau jugak sebenarnya. Nak keluar sangat pun tak seronok sebab tak dapat ramai-ramai. Dengan air tak de lagi...lalalala, mencabar kesabaran sungguh. Semua tu dugaan bagi kehidupan di dunia ini. Sabar je...selagi masih bernafas.

gambar dari wasap group


Setiap tahun, di hari lahirku...ramai rakan-rakan, sahabat mendoakan agar aku terus berjaya di dunia dan akhirat dan kebanyakannya mendoakan agar aku bertemu jodoh? walaweiiii...napa pulak lah korang especially my bff mendoakan begitu. Mungkin mereka ingin melihat aku bahagia dan gembira. Terkadang aku bertanya pada diriku sendiri...tidak bahagiakah aku? Aku rasa aku telah bahagia tetapi mungkin kesepian yang terkadang aku hadapi menjadikan aku tidak bahagia? Ntah lah...terkadang aku sendiri tidak mengerti. Aku hanya mengikut aturan yang Allah telah tetapkan dan merencanakan untukku. Aku tidak mahu menidakkan ketetapan yang Allah telah berikan. Aku hanya mampu berserah dan berdoa agar apa sahaja yang datang kepadaku adalah yang baik-baik belaka. Sesungguhnya apa jua yang Allah beri, aku akan menerima seadanya dan bersyukur di atas setiap nikmat yang telah aku perolehi.

Dan di waktu ini, aku sangat menyayangi seseorang yang dapat mengisi kekosongan hatiku. Walaupun aku tahu, perbuatanku ini salah, tapi aku tidak dapat menafikan dan menolak perasaan itu. Adakah sayang itu boleh dipaksa? Adakah bersalah kerana menjadi yang kedua? Aku sendiri berusaha untuk menolaknya tetapi aku tidak berdaya kerana perasaan itu semakin hari semakin kuat aku rasakan. Adakah ini ujian yang Allah beri untuk aku berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Setiap hari aku berdoa agar Allah memberikan aku ketenangan, ketabahan, keimanan dalam menghadapi hari-hari mendatang. Aku harus kuat demi anak-anakku. Kejayaan dan kesenangan yang Allah beri bukan untuk menjadikan aku sombong tetapi Allah beri untuk aku membantu dan menolong orang lain. Biarlah apa yang aku lakukan hanya Allah yang tahu dan semoga apa yang telah aku buat mendapat restu dari Yang Esa. Ya Allah, semoga setiap kebaikan yang datang daripada Mu membawa kebaikan kepada diriku dan orang-orang disekelilingku. Aku memerlukan Rahmat dan Kasih Sayang Mu. Izinkan aku bahagia Ya Allah walaupun hanya sebentar cuma. Aku yakin setiap orang menginginkan hidup yang bahagia dan berkekalan hingga hujung nyawa. Tetapi apa jua yang telah Engkau tetapkan, aku redha dan pasrah. Aku mengambil iktibar akan setiap kejadian yang menimpaku dan aku mengharapkan Engkau menjagaku setiap detik dan saat sebagai hamba Mu yang sangat lemah. Berilah aku kesempatan untuk terus menjaga amanah Mu ini iaitu anak-anakku, berilah aku kesempatan untuk aku berbakti kepada kedua orang tuaku, berilah aku kesempatan untuk membahagikan dia yang aku sayang. Aku bermohon kepada Mu Ya Allah, agar perjalanan hidupku mendapat keberkatan dari Mu. Redhailah perjalanan hidupku. Aamiin…

Masa untuk sambung kerja. Jumpa lagi, sayonara !!

Ahad, 11 Oktober 2020

Mereka Tidak Mengerti

Assalamualaikum semua…

Selamat berhujung minggu. Minggu ni masa untuk mengemas bilik anak bujang nan 3 orang tu. Yang sulong nak ada bilik sendiri, dah tak nak tidur sekatil dengan mama. Senang nak OTP katanya. Sebelum ni bilik tengah tu bagi kat dak kembar tidur. Sekarang kakak dia nak ambil alih, maklumlah, tahun depan dah habis belajar...haruslah ada bilik sendiri katanya. Aku dulu masa duduk dengan mak, ada dua bilik je kat rumah. Boleh je hidup kan...keselesaan di tolak tepi kerana ramai adik beradik. Anak dulu-dulu merasa hidup susah dan tidak banyak merungut berbanding dengan anak zaman sekarang. Kesusahan dan kesukaran hidup yang dulu banyak mengajar aku erti tabah dan bersabar. Anak-anak zaman sekarang kebanyakkannya semua telah di atur oleh ibu bapa. Belum habis sekolah telah diberi motor dan kereta. anak aku lah tu 😅...haha.

Terkadang, bukan aku hendak memanjakan anak...tetapi tuntutan hidup ini untuk anak-anak berdikari sendiri itu lebih penting. Hidup sebagai ibu tunggal yang mana semua kerja harus kau lakukan sendiri, aku perlu mengajar anak-anak untuk mereka berdikari dan membuat sendiri perkara yang boleh mereka lakukan. Kekangan masa juga membataskan aku untuk mengikut segala kehendak mereka. Tetapi apabila mereka merasa kehidupan yang cukup selesa, mereka lupa apa yang aku inginkan. Ada masanya walaupun aku dikelilingi oleh keluarga yang memahami, sepi itu tetap menjengah kelopak hatiku. Bukan aku hendak membuai rasa, tapi perasaan itu hadir tanpa di duga. Bila perasaan bahagia itu datang, dan aku diminta untuk melupakan. Bersalahkah aku kerana ingin merasa bahagia?

Aku pernah berfikir jika tindakanku ini akan menyakiti hati orang-orang disekelilingiku. Tapi, perasaan aku? Dapatkah mereka memahami apa yang aku rasa? Di saat aku sedih dan rawan, mana mereka yang terlalu menyayangi aku? Akhirnya aku sendiri, berteleku di tikar sejadah.dan memohon kasih pada ilahi moga aku insan yang Allah pilih untuk disayangi. Moga Allah memberi secebis kekuatan untuk aku mengharungi sisa-sia hidup yang tinggal tidak seberapa lama lagi dan moga Allah memberi kebahagiaan buatku sebelum mata ini tertutup rapat.

Aku mengandaikan bahawa, mereka tidak mengerti apa yang aku harapkan, apa yang aku inginkan. Salah ke sebuah perkenalan di akhiri dengan selafaz akad? Aku harap suatu hari nanti mereka akan mengerti dan memahami kenapa aku bertindak sedemikian. Hubungan sesama manusia bukanlah hanya semata nafsu dan harta, tetapi hubungan sesama manusia adalah untuk sayang menyayangi dan kasih mengasihani. Memberi dan menerima atas setiap kelebihan dan kekurangan yang ada.

Walau apapun yang terjadi, aku akan pertahankan kasih yang telah tersemai dalam hati ini. Aku percaya ada sinar di atas setiap apa yang berlaku. Allah sedang menguji aku erti kesabaran dan aku harus bersabar. Moga Allah redha atas setiap tindakan dan perlakuanku. Aamiin 

Peneman di kala sunyi...hadiah dari seorang insan yang sangat istimewa 💙💙💙



Jumpa lagi, sayonara !!

Nota hati : terkadang yang menjadikan kau lebih pedih apabila kau tidak lagi diperduli oleh orang-orang yang kau sayang sedangkan telah banyak pengorbanan yang kau berikan tanpa mereka sedar...Allah sedang mengujiku, bertabahlah duhai hati

Khamis, 8 Oktober 2020

Percaya Pada Allah

Assalamualaikum semua...

Bermula esok PKPB di area Klang, Selangor. Disebabkan wabak covid meningkat di daerah Klang, maka PKPB dilaksanakan. Duduklah balik terkurung di dalam rumah duhai anak. Jangan nak bergerak ke sana ke sini naik basikal kat luar rumah ye. 

gambar kredit to google

Dugaan demi dugaan menimpa. Terkadang tidak semua yang kita inginkan akan Allah kabulkan, tetapi aku sangat yakin akan aturan yang Allah tetapkan. Walaupun diberi sedikit kesedihan hari ini, in shaa Allah akan dibalas dengan kebahagiaan di masa akan datang. Allah timpakan ujian sesuai dengan kemampuan manusia itu dan Allah sekali-kali tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita tanggung. Sesungguhnya ujian Allah itu menandakan bahawa Allah sayang pada kita kerana ujian itu tanda Allah peduli pada kita. Aku sangat percaya bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Andai sabar itu perlu, aku sanggup menunggu hingga manisnya penghujungnya.

Manusia menilai dari sudut yang berbeza tetapi Allah menilai dari mata hati. Terkadang penilaian manusia terhadap manusia lain tidak benar selagi kita tidak bersua muka dan berkenalan dengannya. Itu adalah kesilapan aku yang dulu kerana menilai orang dari percakapan orang lain dan aku yakin bila telah berbual dan mengetahui, ternyata andaian itu salah dan menjadi tugas untuk membetulkan balik tanggapan orang yang salah itu. Tetapi lumrah manusia, terkadang yang baik itu dianggap buruk dan yang buruk itu di anggap baik. Hanya tuhan yang lebih mengerti apa yang tersirat dihati setiap hamba Nya. Allah Maha Mengetahui dan kuasa Allah itu sangat Besar.

Ya Allah, aku bermohon kepadaMu. Kuatkan hatiku untuk menerima dugaan ini. Sesungguhnya yang telah berlaku telahpun berlaku dan setiap yang berlaku itu adalah dari kehendakMu jua. Ampunilah aku kerana mengikut kata hati. Sesungguhnya aku hanya mengikut gerak hati dan aturan yang Kau berikan. Aku yakin setiap yang berlaku akan diberi ganjaran oleh Mu. Berilah kejayaan buat orang yang aku sayang dan Kau mudahkan setiap tindakan dan pekerjaannya. Aamiin

Sayang, aku akan setia menemanimu walaupun hatiku luka. Aku akan sentiasa mendoakan dirimu semoga kau bahagia selalu kerana aku sayang padamu. Aku percaya pada keajaiban tuhan yang satu...Allah Ya Mujib. Moga perjalanan hidup ini mendapat restu dari Yang Maha Esa. 

Sampai sini saja...malam ni boleh tidur awal,, esok kita keje dari rumah...yeayy

Selamat malam, sayonara!! 

Selasa, 6 Oktober 2020

Takdir dan Waktu

Assalamualaikum...

Selamat menjawab peperiksaan pada anak-anak tingkatan 5, trial exam SPM bermula minggu ini. Semoga anakku Awie dapat menjawab soalan dengan lancar. Doa mama sentiasa mengiringi semoga kalian semua berjaya di dunia & akhirat.

Di waktu ini, berbagai dugaan yang aku tempuhi dan aku bersyukur kepada Allah kerana memberi sesuatu yang telah hilang dulu. Kini, aku rasa sangat bahagia dan aku harap kebahagiaan ini dapat dikecapi bersama insan yang aku sayangi. Perjalanan hidup yang penuh berliku menjadikan aku seorang wanita yang tabah dan sabar. Menyusuri setiap detik dan masa yang dulunya kurasakan sepi tetapi kini kesepian itu telah terisi dengan kehadiranmu sayang. Mungkin orang tidak akan mengerti kerana aku sendiri tidak memahami apa sebenarnya yang aku inginkan. Tetapi apa yang aku pasti, aku ingin melihat kau tersenyum dan bahagia. Bahagia yang dirasakan dari 💙 sanubari yang tulus menyayangimu.

Kerana kasih dan sayangku bukan paksaan. Ia hadir tanpa di undang dan akhirnya aku merasakan aku telah jatuh cinta buat kali kedua. Kau bukan yang pertama tetapi kau terindah dalam hatiku. Aku ingin memilikimu seperti agungnya cinta Khatijah terhadap Rasulullah SAW. Satu ikatan di mana setianya kehidupan baginda yang tiada tolok bandingnya. Kita tidak mungkin dapat menjadi seperti baginda tetapi kita boleh mengikut sunnah yang ditinggalkan. 

Takdir itu menemukan kita dan takdir juga yang memisahkan. Mengenalimu membuatkan aku rasa bahagia dan aku harap perhubungan ini berakhir dengan baik. Terima kasih kerana  menyayangiku sayang.

i love u...

Jumpa lagi, sayonara !!

Khamis, 1 Oktober 2020

Ikatan Suci

Assalamualaikum...

Hujan rahmat di malam ini membuatkan aku di buai rasa. Rasa yang sukar untuk dimengertikan. Bahagiakah aku? Adakah bahagia itu akan menjadi milikku? 

Bersamamu sangat mendamaikan hati ini. Namun, apa yang aku takuti berlaku juga. Aku mengakui bahawa aku sangat sayang padamu. Ntah dari mana kekuatan itu hadir untuk aku menerimamu sepenuhnya. Kau sangat istimewa dalam hatiku. Hati yang selama ini aku tutup untuk menerima mana-mana lelaki di dalam hidupku. Namun aku tidak menafikan kehadiranmu membuatkan aku rasa gembira, membuatkan aku rasa bahagia dan dihargai. Terima kasih kerana hadir di dalam hidupku. Sepi yang aku lalui dulu kian terisi dengan kehadiranmu sayang. Senyum tawamu, kemesraanmu, perhatianmu sangat aku kagumi. Aku sangat menghargai masa yang kau luangkan bersamaku.

Aku hanya mampu berdoa agar hubungan ini berakhir dengan satu akad bahawa aku sah menjadi milikmu. Walaupun aku tahu, aku akan melukakan hati orang-orang disekelilingku, namun satu hari nanti...aku harap mereka akan mengerti. Hidup ini hanya sementara. Izinkan aku bahagia, Ya Allah. Aku bermohon kepadaMu, mudahkan urusan kami. 

Sayang...andai kau tahu betapa bersalahnya aku kerana ingin memilikimu tetapi aku tidak berdaya untuk mengelak. Perasaan ini lahir dari sudut hati yang paling dalam bila mana aku sebut namamu dalam doaku...dan Allah lorongkan perkenalan ini menjadi satu keindahan yang kita sendiri dapat merasainya. Aku ingin bahagia bersamamu. Menikmati keindahan alam bersamamu dan melayari hidup bersamamu. Hadirmu membawa makna yang sukar untuk dimengertikan tetapi aku yakin semua itu adalah dengan kehendak Allah jua. Moga Allah redha.

Ya Allah, aku bermohon kepada Mu, satukan hati kami walaupun dugaan melanda. Lindungilah kami dan peliharalah iman kami. Sesungguhnya kami insan yang lemah dan tidak berdaya. Sayangi kami Ya Allah. Aamiin...

Sampai sini saja...mata pun dah layu ni. Selamat malam dunia. Moga hari-hari yang mendatang  akan dilalui dengan penuh keceriaan dan keindahan.

gambar kredit to google


Jumpa lagi, sayonara !!