Selasa, 14 Julai 2020

Kasih Sayang

Assalamualaikum semua...

Tengah buat apa tu? Ceria-ceriakan hidup ini walaupun rintangan melanda. Hidup kalau tiada ujian, bukan kehidupan lah namanya. Setiap manusia akan di uji sesuai dengan kemampuan masing-masing. Allah tidak sekali-kali menguji hamba-Nya diluar kemampuan setiap orang. Terkadang kita rasa beratnya ujian yang kita terima, tetapi dengan ujian itulah mengajar kita erti memberi dan menerima. Sebagaimana ujian itu menjadikan kita lebih tabah, lebih matang, lebih dewasa dan lebih berhati-hati dengan setiap tindakan dan perlakuan yang kita buat sehari-hari. Sesungguhnya ujian itu mematangkan fikiran.


Kerana hidup ini memerlukan kasih sayang...tidak kira lah dari siapa, terutama sekali dari mak abah yang melahirkan, dari adik beradik, suami, anak-anak dan keluarga, dan mungkin dari orang-orang yang istimewa dalam hidup. Terkadang, ada orang yang menyayangi kita tanpa kita ketahui...yang hanya menitipkan doa agar kita beroleh kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Beruntunglah jika kita mendapat doa dari orang yang mendoakan kita dalam diam, kerana kita tidak tahu dalam banyak-banyak doa, yang mana satu Allah akan makbulkan.

Indahnya hidup berkasih sayang andai kita dapat merasainya dengan tulus ikhlas. Kehidupan banyak mengajar aku untuk terus tabah dan menghargai orang-orang disekelilingku. Mungkin dua tahun yang lalu, aku hanya mementingkan diriku sendiri. Aku malas nak memikirkan hal orang lain dan aku malas nak mengusutkan keadaan. Yang aku tahu, aku diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk aku berbakti kepada mak abah. Andai sampai waktunya, aku akan menjaga mak abah sehingga akhir hidup mereka. Moga diberi kesempatan masa untuk bersama mereka. In shaa Allah.

Kerana kasih sayang ini jugalah, aku menerima kenyataan bahawa apa yang kita dapat sudah ditetapkan dan apa yang hilang itu sudak ditakdirkan. Kehilangan mengajar aku erti rindu...rindu yang paling sarat kerana kau tidak akan bertemu dengannya lagi. Andai masa itu dapat diputarkan, kita tidak mahu semua ini berlaku tetapi takdir Allah siapa yang tahu. Anggaplah setiap kejadian itu mengandungi hikmah yang tersembunyi. Andai kita mengambil takdir itu sebagai suatu hikmah, pasti kita akan merasai kemanisan dihujungnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Demi kasih ini, demi sayang ini...aku akan terus menyayangi orang-orang yang menghargai diriku. Biarlah masa berlalu pergi tetapi sayang ini tidak akan pernah hilang dalam diriku. Andai kasih ini terputus di tengah jalan, sayangku tidak mungkin terpadam. Ia akan abadi dalam hatiku.

Kehidupanku hari ini dikelilingi oleh mereka-mereka yang menyayangi diri ini. Terima kasih Allah atas anugerahMu yang tidak ternilai harganya. Kerana kasih sayang itu tiada batasnya dan tiada sempadan. Hidup untuk Allah sayang, dan kehidupan sesama makhluk adalah untuk kasih mengasihi dan sayang menyayangi. Moga kita semua memperolehi manfaat dalam kehidupan kita.

Sesungguhnya hidupku, matiku, amalanku, ibadahku dan rezekiku kerana Allah SWT. Lindungilah kami Ya Allah. Aamiin

Jumpa lagi, sayonara !!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan